Archive for November, 2009

Dia yang Bernama Halim

Kali pertama aku mengenali dia adalah pada Hari Anugerah Cemerlang 2009 di sekolahku pada bulan Mei lalu. Pada ketika itu dia sedang bersajak di atas pentas sebagai persembahan kepada tetamu yang hadir pada hari itu. Kutanyakan kepada guru yang duduk di sebelahku, Siapa dia yang bersajak tu¿”Owh, itu Halim pelajar tingkatan 5. Dia tu blaja malas tapi kalo bab-bab cmni memang dia minat,” cukup lengkap jawapan yang diberi. Aku akui akan bakat dia bersajak tapi bukan penghayatan sajak itu yang menarik perhatianku. Apa yang bermain difikiranku adalah lebih daripada itu. Aku seperti nampak ‘sesuatu’ darinya. Tapi aku tidak pasti apakah dia.

Tidak dapat kuingat bila kali pertama aku memasuki kelas dia(5 Perdagangan 2 @ 5PD2). Pada mulanya aku tak tahu dia adalah pelajar kelas itu, tapi saat kaki melangkah masuk ke kelas, dia memberi arahan meminta pelajar bangun untuk memberi salam. “Owh ketua kelas rupanya dia,” bisik hati kecilku. Kredit kuberikan kepada dia. Aku masuk ke kelas itu bukan untuk mengajar tetapi hanya ‘relief’ subjek Sains (relief= perkataan yang diberikan kepada guru yang menggantikan guru subjek yang tidak hadir). Guru Sains mereka telah meminta aku berpesan kepada pelajar kelas tersebut untuk membuat latihan yang diberikan dan aku panjangkan arahan tersebut kepada mereka. Dapat kubilang dengan jari bilangan pelajar yang mengeluarkan helaian latihan dan membuatnya. Pelajar lain hanya bersembang diselangi ketawa besar dan langsung tidak mempedulikan sedikitpun arahanku terutamanya pelajar lelaki termasuklah dia. Ya,dia-Halim.

Aku mendekatinya dan meminta dia mengeluarkan helaian tersebut. Jawapan yang aku dapat daripada mulutnya sangat menghampakan. Katanya dia tidak membawa helaian itu dan sekiranya dia membawa sekalipun, dia tidak akan buat kerana tidak berminat untuk belajar. Huh! biadap sungguh` Agak tersentap aku mendengar jawapannya. Rupa-rupanya dia tidak seperti yang aku sangka pada awalnya. Kali pertama masuk ke kelasnya, dia sudah menunjukkan belang kepadaku, dia sudah menampakkan keras kepalanya kepadaku. Dan aku mula ‘memangkah’ nya selepas itu.

Selang beberapa purnama, aku relief lagi kelas itu. Adush` apalah malangnya nasibku mendapat relief kelas itu. Bukan apa kelas 5PD2 itu sudah menjadi perbualan hangat di dalam bilik guru. Bukan setakat itu sahaja, setiap kali ‘contact time’ (mesyuarat guru) nama kelas itu selalu sahaja timbul,ada saja laporan yang tidak elok dari guru. Kelas paling nakal, paling kurang ajar dan paling corot segalanya mereka juara. Segala kesalahan disiplin semuanya dari pelajar kelas itu dari ponteng sekolah, merokok dan bergaduh. Aku pun baru tahu sejak masuk ke kelas itu kali pertama dulu apabila mereka menunjukkan rasa tidak hormat dan tidak menjaga adab di dalam kelas.

Kali ini aku relief bagi subjek Pendidikan Islam. Aku berikan latihan agama di bawah tajuk ‘Adab Dengan Pemimpin’ kepada kelas tersebut. Dan seperti dahulu Halim dan rakan-rakannya tidak mengendahkan arahanku. Sedang pelajar lain memberi tumpuan membuat latihan, mereka membuka ‘kedai kopi’ di belakang kelas, mereka buat seperti aku tidak wujud di dalam kelas itu.

Ketika aku membincangkan jawapan latihan bersama pelajar lain, dia telah menyampuk dan berkata ‘Alah cikgu, tiada sorang pemimpin pun yang jujur dan boleh percaya skang ni, semua sama je’. Dan aku memulangkan paku buah keras kepadanya ‘Awak mengata orang awak sendiri tak menjadi pemimpin kelas yang baik, saya mengajar di depan awak bersembang kat belakang, macam tu ke pemimpin¿’ Dia tidak mahu beralah dan membalas menjadi ketua kelas bukanlah atas kerelaan hatinya sendiri dan terpulang kepadanya untuk menjadi pemimpin yang bagaimana. Huh~ pendek akal sungguh` Selepas itu suasana kelas menjadi hangat apabila kami berdebat. Masing-masing tidak mahu mengalah. Dia telah menegur caraku mengajar adalah salah, aku tidak cuba untuk memahami perasaan mereka, aku tidak memikirkan masalah yang sebenar dihadapi mereka seperti masalah keluarga sehingga mereka memberontak di sekolah, aku memandang serong kepada mereka sebagai pelajar yang paling corot di sekolah dan dia tidak mempercayai seorang guru pun di sekolah ini semuanya hanya bermuka-muka dan pelbagai lagi. Tegang urat lehernya mempertahankan usulnya, ketinggian suaranya juga tidak seperti dia bercakap dengan seorang guru. Kadang-kadang terdengar juga nada suaranya yang tinggi rendah. Dan perdebatan itu tamat apabila loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Apabila aku mohon untuk beredar dari kelas, rakan-rakannya bersorak, Yea ! Halim menang! ‘Cis!’ bisikku di dalam hati.

Ketika aku mengemas buku sebelum beredar, dia telah datang dan meminta maaf kepadaku kerana menggunakan perkataan kasar sebentar tadi, bukan niat dia untuk melawanku katanya. Aku maafkan dan sedikit pun aku tidak ambil pusing setiap butir katanya tadi. Dia bukanlah lawanku tapi perdebatan itu membawa kesan yang mendalam kepadaku. Tidak sepatutnya aku mengharapkan sesuatu yang lebih dari kelas itu kerana intelektual mereka lemah. Mereka memerlukan perhatian yang lebih tanpa menggunakan kekerasan. Persepsi aku terhadap dia juga sudah berbeza. Secara tak langsung dia meluahkan rasa yang terpendam. Baginya mungkin aku dapat memahami  perasaan mereka. Tindakan dia meminta maaf kepadaku sebentar tadi menunjukkan dia masih hormat kepadaku, hatinya masih lagi lembut.

Esoknya aku melintasi di hadapan Bilik Seni untuk menuju ke kelas 3 Wawasan dan aku sudah nampak dia dari jauh. Dia merapati sambil menunjukkan ukiran yang dia buat sebagai kerja kursus SPM bagi subjek Pendidikan Seni. ‘Cantik tak cikgu¿,’ tanyanya kepadaku seperti mahu menarik perhatianku. ‘Cantik, pandai awak buat. Boleh tak awak buatkan satu untuk saya¿,’ pintaku kepadanya. ‘Boleh,’ jawabnya ringkas. Nampaknya peristiwa semalam telah merapatkan aku dengan dia dan telah mewujudkan persefahaman yang baik antara aku dan dia. Simpulku sendirian.

Sebelum tamat persekolahan untuk hari itu, dia telah datang ke bilik guru dan berjumpa denganku. ‘Cikgu, nah ambil ni,’ katanya sambil memberikanku ukiran yang telah disiapkan seperti yang aku minta tadi. ‘Hah, cepatnya awak buat, betul ke nak bagi saya ni¿,’ tanyaku tak percaya. ‘Betul, ambillah,’.katanya dengan muka bersungguh. ‘Terima kasih ye Halim,’ ucapku dengan ikhlas dan dia berlalu pergi. Tidak ku sangka serius rupanya dia mengambil kata-kataku tadi. Sebenarnya permintaanku tadi lebih kepada untuk bermanis mulut dan tidaklah terlalu mendesak. Aku mula membayangkan betapa bersungguhnya dia buatkan ukiran itu dengan masa yang singkat. Sekali lagi aku tersentuh.

Dari saat itu, aku mula ingin mengambil tahu mengenai dia. Kadang-kadang aku mencuri dengar perbualan guru kelasnya apabila membuka cerita mengenai kelasnya tak tertinggal juga perihal Halim setiap kali dia memasuki kelas itu. Setiap hari aku tertanya-tanya datangkah Halim ke sekolah hari ini? Dan apabila aku nampak dia hadir ke sekolah, aku ucapkan syukur masih lagi dia punyai kesedaran terhadap tanggungjawabnya.

13 November 2009, satu tarikh yang tak akan aku lupakan sepanjang hidupku. Malah aku anggap tarikh ini lagi bermakna dari tarikh lahirku. Ya, mungkin aku agak keterlaluan tapi itulah kenyataannya. Satu upacara memohon restu diadakan di mana kesemua pelajar tingkatan 5 akan bersalaman dengan guru-guru subjek mereka dan memohon restu agar mereka dipermudahkan untuk menjawab SPM pada hari Rabu ini-(18 November 2009). Bagaikan di dalam tin sardin kulihat bilik guru pada hari itu dengan pelajar tingkatan 5 yang mahu berjumpa dengan guru-guru untuk memohon maaf atas kesalahan mereka dan meminta didoakan kejayaan mereka.

Aku kenal akan susuk tubuh yang menghampiri mejaku ketika itu.

‘Cikgu,’ Halim menegurku.
‘Yes Halim, what can i help you¿,’ tanyaku kepadanya.
‘Saya nak minta maaf kat cikgu,’ jawabnya.
‘Awak ada dosa dengan saya ke¿,’ aku menjual mahal dengannya.
‘Ada cikgu, kali pertama cikgu masuk kelas saya, saya dah kurang ajar dengan cikgu,’ katanya berterus terang.
(Rupanya dia masih ingat lagi peristiwa itu… )

‘Halim, awak tahu tak..,’ aku mula membuka bicara dengannya.

‘Kali pertama saya kenal awak masa awak buat persembahan kat bawah sempena Hari Anugerah Cemerlang, masa tu saya fikirkan hanya yang baik je pasal awak. Saya sangat kagum dengan awak waktu tu. Tapi saya silap, first time saya masuk kelas awak hari tu, kecewa tul saya tengok awak. Awak tak hormat saya, awak ajak kawan-kawan awak bersembang kat belakang, duduk atas meja, ketawa kuat-kuat. Saya harapkan awak boleh backup saya sebagai ketua kelas, suruh kawan-kawan awak senyap, jaga kelakuan diorg. Tapi awak buat sebaliknya.’ ceritaku lebar.

Pada saat itu, aku lihat manik-manik jernih mula mengalir di pipinya. Erk` agak tersentak aku melihat responnya. Aku tak sangka bicara aku itu, membuatkan dia tersentuh.

Aku menambah lagi. ‘Halim, saya tahu awak bukan seperti itu. Saya cuba bersangka baik dengan awak. Saya hanya fikirkan itu hanya tindak balas emosi awak bila awak berhadapan dengan masalah di rumah dan sekolah. Saya percaya sangat awak budak yang baik.

‘Saya tak tahu nak cakap apa sekarang cikgu.., saya tak tahu’… kata Halim dengan sedu sedan.

‘Awak tak yah cakap apa-apa sekarang. Awak dengar je saya nak cakap apa. Lepas ni awak dah tak dapat dengar saya bercakap,’ kataku syahdu. Bertambah laju air matanya mengalir.

‘Jangan nangis Halim,’ pujukku apabila aku lihat tiada tanda-tanda air matanya mahu berhenti mengalir.

Sebenarnya aku sendiri tidak percaya betapa sensitifnya dia waktu itu. Benarkah apa yang aku lihat sekarang¿. Halim yang dulunya sangat keras hatinya apabila aku menegur silapnya. Tapi hari ini, dia di hadapanku dengan penuh rasa penyesalan.

Pada ketika ini, beberapa pelajar dan guru yang lalu lalang di tepi mejaku memandang pelik ke arah kami. Adegan apa yang sedang dimainkan ni¿. Terdengar aku suara-suara pelajar lelaki bertanya sesama mereka. ‘Eh Halim nangis la, pesal dia nangis ha¿,’.

‘Saya tak berdendam sedikit pun dengan awak Halim apatah lagi memarahi awak saya cuma kecewa sikit. Tak pelah Halim mungkin ini satu balasan dosa kepada saya, di sekolah dulu mungkin saya ada silap dengan cikgu dan sekarang saya rasa apa yang dirasai oleh cikgu saya dulu. Saya belajar apa yang jadi sekarang ni, ini pun satu ilmu untuk saya. Aku menyambung bicara lagi. Tapi dia tetap seperti tadi, tidak juga berhenti menangis. Makin aku pujuk, makin menjadi-jadi pula tangisannya. Sehinggakan Cikgu Jawahir yang duduk di sebelahku memberikan aku sekotak tisu untuk diberikan sehelai kepada Halim.

‘Khairah, tolong akak kejap,’. Perbualan kami terpotong apabila Ustazah Hafilah memanggil aku untuk membantu dia menggunakan komputer.

‘Ok lah Halim, kalau ikutkan banyak lagi saya nak bercakap dengan awak ni tapi takut awak bosan lak nanti. Semua cikgu duk cakap benda yang sama je. Lepas ni bila awak jadi suami dan bapa baru awak akan sedar betapa keciknya awak untuk hidup kat dunia ni. Saya doakan awak berjaya dalam hidup awak lepas ni,’. kataku kepadanya sebagai amanat terakhir sambil menepuk perlahan beg sekolah yang disandangnya.

‘Terima kasih cikgu,’. Itu sahaja jawapan dia, mungkin dia kehilangan kata-kata mendengarkan luahan aku dan dia pun beredar pergi. Aku hanya membalas dengan senyuman.

Tak banyak respon yang dia berikan kepadaku, tetapi melihatkan air matanya yang jatuh aku sudah dapat mengerti apa yang tersirat di dalam hatinya. Aku tidak merasai kemenangan di pihak aku apabila dia menangis, tetapi aku ucapkan syukur kerana dia sudah sedar akan kesilapannya dulu, hatinya masih lagi terbuka untuk mendapat petunjuk. Semoga tidak terlewat untuk dia berubah menjadi yang lebih baik dari sekarang.

‘Khairah apa you cakap dengan Halim sampai dia nangis tak renti-renti¿,’. tanya Cikgu Arwina mendapatkan aku selepas Halim pergi. ‘Tak ada apa-apa,cakap sikit je,’. Aku tidak berniat untuk menceritakan kepada sesiapa apa yang telah terjadi antara aku dengan Halim dari awal persekolahan sampai sekarang. Biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dan dia. Masing-masing menyimpan perasaan yang sukar diungkapkan. Ada seperkara yang aku ingin katakan kepada dia, tapi tiada kesempatan. Aku ingin katakan maksud namanya ialah ‘Hamba yang Lemah-Lembut’ (Abdul Halim)  dan seharusnya dia bersikap lemah-lembut dengan sesiapa. Aku rasa ianya terbukti apabila aku meihat air matanya jatuh. Rupa-rupanya inilah ‘sesuatu’ yang aku cari-cari sejak kali pertama mengenali dia.

Rasa yang Tertinggal

Rasa¿ rasa apa yang dimaksudkan ni¿ Adakah rasa kopi yang aku hidangkan untuk abh setiap petang itu¿ huhu~ (Sila baca entry ‘Secawan Kopi untuk Abah’).

Aku mula membuka kotak memoriku dan mencari kembali kehidupanku 8 bulan yang lalu. Masih basah lagi di ingatanku pada hari pertama mendaftarkan diri sebagai pendidik pada 1 April 2009.

Pagi yang sangat indah itu aku ditemani abh sebagai penunjuk jalan ke sekolah yang bakal aku taburkan ilmu. Dari luaran, dapat aku simpulkan aku akan senang berada di sini dan seperti ada tangan yang terbuka luas menyambut kedatanganku sebagai warga sekolah yang baru.

Huh! Awal benar aku membuat jangkaan indah itu, segalanya terpesong habis bila kaki melangkah masuk ke kelas. Aku tidak disambut dengan permaidani merah, apatah lagi senyuman manis. Tapi aku disambut ‘mesra’ dengan keadaan kelas yang kotor, sebilangan pelajar lelaki berkejaran di dalam kelas dan beberapa pelajar perempuan yang semangat bersembang. Hampir 10 minit aku terpacak di hadapan kelas tanpa sebarang salam dihulurkan. Inikah yang bakal aku hadapi setiap hari sehingga tamat persekolahan 2009¿ Hati mula membara, muka merah mengalahkan udang bakar. Dengan kekuatan aku hamburkan kemarahan kepada mereka. Sepi..

Tidak tertulis di sini pengalaman yang sudah aku kutip dari pelajar yang berminat mengikuti kelasku sehinggalah yang ingin mengugut ingin menamparku. Kadang-kadang terdapat juga beberapa pelajar tingkatan 5 yang bersiul nakal apabila aku melintasi kelas mereka.

Terasa penat menjadi pendidik. Aku tidak penat dengan tugas P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) tetapi aku penat melayan karenah mereka. Dan tentunya peel (sikap) pelajar tingkatan 1 selalu mencuit hatiku. Sifat mereka yang keanak-anakan yang dibawa dari sekolah rendah masih tidak terhakis. Mengejek nama bapalah, ejek bapa jual ayamlah,jual beruklah semuanya menjadi bahan gurauan mereka. 10 kali aku memarahi mereka, 100 kali bertambah rapat mereka dengan aku. Tidak melekat langsung kata-kata amarahku di hati mereka. Ish`

Namun bila ku sendirian, aku tersenyum sendiri mengenang sikap mereka. Mereka datang ke sekolah bukan setakat menimba ilmu tetapi juga mahu diperbetulkan sikap mereka. Perbezaan umur yang hampir 10 tahun dengan mereka menjadi kayu pengukur bagi aku menilai setiap daripada mereka. Ada yang sudah mencapai tahap matang pemikirannya, ada yang berfikiran pendek dan ada yang tak berfikir langsung (bila aku bertanyakan soalan, geleng tak, angguk pun tidak) huh~ Kadang-kadang pelajar yang suka melawan kata-kataku, aku lebih senang mengambil langkah untuk berdiam diri. Biarkan dia rasa dirinya di pihak yang benar, esok-esok bila dia sudah menjadi anggota masyarakat, dia akan tersedar sendiri dirinya terlalu kerdil untuk tinggal di dunia yang bersifat sementara ini. Aku ampunkan dosa mereka dan aku halalkan ilmu yang aku sampaikan.

Tak kurang 2 minggu lagi, aku akan menamatkan perkhidmatan di sekolah ini. Entah tahun depan aku akan kembali entahkan tidak. Pastinya aku merindui setiap saat bersama mereka, membimbing mereka, bergurau bersama mereka.. pahit bertukar manis, manis bertukar pahit.. Dan itulah sebenarnya rasa yang tertinggal…

Siapakah Sufi¿

Pernah tak korang dengar lagu Sufi dendangan kumpulan Damasutra¿ Pada awal aku meminati lagu ini, aku hanya fikirkan ianya ditujukan kepada teman wanitanya yang bernama Sufi tapi ternyata sangkaanku melesat sama sekali.

Patutlah aku dengar ada beberapa perkataan di dalam liriknya yang agak asing bagiku seperti nafi dan isbat. Tak seperti lagu yang digubah untuk kekasih hati yang selalunya disulam dengan perkataan rindu, sayang dan cinta.

Tidak ku kira berapa kali ku ulang mendengar lagu itu tanpa aku memahami maksud sebenarnya tapi susunan lirik dan iramanya seperti kena dengan jiwaku. Aku mula mencari lirik penuh lagu tersebut menggunakan khidmat En G00gle. Tapi bukan setakat lirik sahaja yang aku dapat turut juga disertakan komen-komen daripada peminat lagu tersebut. Ada beberapa komen yang dihantar memberi ulasan katanya lagu ini menceritakan perihal ahli sufi. Ahli sufi¿ Siapa dia ahli sufi¿ tanyaku sendirian. Ya, aku agak kurang arif mengenai ilmu tasawwuf apatah lagi gerangan ahli sufi. Hurm… nampaknya tak banyak input yang aku dapat daripada komen-komen tersebut.

Dengan perasaan yang sangat membuak-buak untuk mengenali ahli sufi aku akhirnya telah mengunjungi kedai buku di Ipoh (SS Mubarak) selepas habis waktu keje. Aku menuju ke rak bahagian agama dan mula menjalankan proses ‘scanning’. Satu persatu buku ku belek dan akhirnya… Yes,jumpa! Sebuah buku yang ringkas sahaja persembahan ‘cover’ nya tapi tajuknya sudah cukup buat aku terpikat. ‘Rahsia Alam Sufi-The Secret of Sufi’ tulisan Ibnu Idris Al-Qari. Tanpa berfikir panjang dengan harga RM12.50 buku itu telah menjadi milikku.

Atas alasan sibuk dengan tugas harian di sekolah, aku belum lagi menghabiskan pembacaan tapi aku sudah mula mengenali serba sedikit siapa dia ahli sufi. ‘Sufi adalah orang yang hatinya tulus terhadap Allah dan mendapat rahmat tulus pula daripadaNya. Begitulah secara ringkasnya makna ahli sufi yang dapat ku petik dari buku ini. Secara keseluruhannya, buku ini menceritakan pegangan hidup ahli sufi antaranya zuhud,sabar dan syukur serta beberapa tokoh-tokoh ahli sufi seperti Abu Sulaiman Al-Daran dan Ma’ruf Al-Karkhi.

Owh begitu.. barulah terbuka mindaku sedikit mengenai perihal ahli sufi. Tambah lagi ilmu di dada. Alhamdulillah…
Di sini, aku ingin memetik kata-kata hikmah para sufi daripada buku ini untuk renungan semua.

Cinta padaNya
“Cinta seberat biji sawi lebih kusukai
daripada ibadah tujuh puluh tahun tanpa kecintaan”

Rahsia Alam Sufi-The Secret of Sufi

– The Secret Of Sufi

Secawan Kopi Untuk Abah

Along buat air apa petang ni¿ Itulah perkataan yang selalu abah ajukan pada aku dan soalan itu sudah menjadi sebati dengan diriku tiap-tiap petang. Bukan apa dia akan pastikan aku akan menghidangkan air kopi untuknya sebagai minum petang.

Adush! Membancuh air kopi merupakan perkara paling lemah dalam hidupku. Remeh benar rasanya menyediakan kopi yang sedap rasanya bagi abah. Dan setiap kali itu jugalah aku akan terima komen dari abah, kurang gula lah, kurang pekat lah.. segalanya kurang bagi abah.Akhirnya aku mengeluh sendirian, abh yang cerewet atau aku memang kurang kemahiran membancuh air kopi¿

Selalunya aku ni mengelat (menipu), sebelum abah membuka mulut, awal-awal lagi aku sudah buatkan air teh. Paling mudah, hanya penuhkan air panas dalam teko, rendamkan uncang teh, tambahkan gula dan kacau. Siap! Pasti tak cukup secawan abah minum, huhu~

Bila difikirkan kembali, abah hanya minta aku buatkan secawan kopi tapi aku sudah menarik muka tak minat. Patutkah begitu¿ Padahal sepanjang 23 tahun aku hidup di bawah perlindungan dia, apa sahaja yang aku minta tak pernah keluar dari mulutnya jawapan ‘tidak’. Segalanya pasti akan dipenuhi malahan lebih dari yang aku pinta. Tak pernah sekali aku kecewa dengan layanan dia. Tapi apabila dia hanya minta aku membancuh secawan kopi untuknya sebagai minum petang, aku tak dapat buat yang sebaiknya, aku tak dapat memenuhi kehendak tekaknya. Adilkah begitu?

Jauh benar harga budi dan jasanya berbanding harga secawan kopi itu. Dia baru sahaja minta buatkan kopi bagaimana kalau dia mintak aku hadiahkan sebuah kereta Vios idamannya, sebuah rumah banglow bernilai 3.4 juta ataupun apabila ditakdirkan kudratnya ditarik Ilahi apabila umurnya meningkat emas dan aku diminta untuk memimpinnya ke tandas atau menyuapkan makanan ke mulutnya, dapatkah aku menjalankan tanggungjawab itu?

Atas kesedaran itu, setiap kali aku membancuh kopi untuknya, fikiranku melayang memikirkan perkara itu dan dengan sedikit kesungguhan aku akan pastikan abah menghirup kopi dengan senyuman. Aku mendoakan dia bukan sahaja merasai air kopi tetapi juga merasai kasih sayang ku padanya yang tidak terhingga..

Sekurang-kurangnya aku tak seperti Belalang yang membancuh kopi menggunakan arang kuali. uhuk~

fOr the 1sT tim3

Bismillah.. aku mulakan penulisan ini dgn namaNya. Dah lama aku nak buat blog ni tapi tak buat-buat, asyik bertangguh je. Dan akhirnya dengan izinNya pada 9 November 2009 tertunai juga impian aku untuk punyai blog sendiri. 🙂 .

Tapi dugaan plak nak cari nama blog. Jenuh aku perah otak aku nak pikirkan nama yang sesuai untuk blog ni. Nak cari nama blog pun susah, belum lagi nk menulis entry. uhuk~. Finally, dengan bantuan angah, dia mencadangkan nama ‘sobaniiruyo‘ untuk blog aku ni. Sobaniiruyo dipinjam dari Bahasa Jepun yang bermakna I am by your side.

Sebelum ni pun aku dah biasa dengan perkataan ini apabila angah mem’promote’ lagu ‘Soba ni Iru ne nyanyian Aoyama Thelma feat SoulJa’. Pertama kali mendengar lagu ini, aku terus suka. Dan lahirlah https://sobaniiruyo.wordpress.com.