Selamat Hari Guru, CK!

16 Mei 2014, Jumaat- Tahun ni masuk tahun keempat aku menyambut hari guru. Tapi tahun ni tempatnya berbeza, atmosferanya sudah tidak sama, lain sudah sekelilingnya.. Namun rasa bertuah menjadi seorang guru tetap tidak berubah dari sebelum ni..

Sudah hampir 3 bulan aku menjadi penduduk di sini. Tempat yang tidak pernah terlintas untuk aku datang, tidak pernah terfikir untuk aku tinggal. Allah sudah menetapkan inilah tempat terbaik untuk aku memulakan tugas menjadi guru tetap. Jujur kukatakan, dalam doaku aku tidak pernah menyebut di mana tempat aku ingin posting. Aku hanya menyebut supaya Allah menghantar aku tempat terbaik untuk aku dunia dan akhirat. Saat keputusan posting keluar, aku berlapang dada menerimanya. Walaupun di satu sudut, aku lihat kerut wajah mak dan abah sebaliknya. Sudah kufaham maksudnya itu.

Pertama kali naik kapal terbang, pertama kali menyeberangi Laut China Selatan.. Bayangkanlah bagaimana debarnya aku ketika itu. Teruja? Itu sudah pasti. Membawa diri jauh dari keluarga, belajar budaya masyarakat yang baru, berjumpa dengan kawan-kawan baru, semua itu sudah terbayang-bayang di fikiran. Saat kapal terbang mula perlahan-lahan meninggalkan landasan, menganjakkan diri dan seterusnya menerbangkan diri di celahan awan, aku menjadi sayu.. Aku telah tinggalkan jejakku di Semenanjung yang entah bila aku akan kembali lagi. Tiba waktu kita berpisah. Rindu pasti bertamu.

Jam 0926, dapat kurasa kapal terbang sudah agak stabil dan tenang melepasi awan. Dalam kesamaran aku nampak banjaran dan sungai. Itu mungkin di kawasan di negeri Pahang. Tekaku..Jam 0952, aku jenguk di tingkap lagi, tiada lagi daratan.. yang ada hanya lautan.. Lautan yang memisahkan aku dengan mereka yang kusayang. Laut China selatan, tahulah aku yang sekarang aku sudah meninggalkan Semenanjung. Sempat lagi aku bergurau bersama rakan-rakan yang dipostingkan di Sabah, ‘Rindu la kat semenanjung.., rasa nak berenang je balik sana’. Yerp, aku tau sampai bila-bila pun tak akan jadi kenyataan sebenarnya.

Hampir 1 jam 25 minit selepas itu, aku sudah mula nampak sebuah pulau yang kecil saja saiznya. Kehijauan saja warnanya. Kapal terbang makin terbang menghampiri rapat pulau itu. “Itu ke tempat kita?” Tanyaku pada Kak A. “Itu ke?” Tanyaku pula pada MK yang dari tadi duduk diam membeku. Penakut juga rupanya MK ni. “Tak macho langsung”. Gurauku  padanya. Saat aku memanjangkan leher ke luar tingkap. Waktu itu aku benar-benar excited. Setiap saat aku menangkap gambar pulau itu. Aku dapat lihat pemandangan dari atas keseluruhan pulau itu. Kami masing-masing meneka. “Itu ke sekolah kita?” “Eh, yang tu kot..” “Yang tu pun mungkin gak”. Sambil kami menujuk-nunjuk ke bawah setiap kali kapal terbang melewati bangunan-banguunan sekolah. Jam 1135, Alhamdulillah.. menempuh perjalanan yang panjang akhirnya we are softly landed. Syukur..

“Sumpah aku tak nak balik Semenanjung pasni kalau macam ni rasanya naik kapal terbang”. Celah MK mematikan perasaan terujaku. Memberikan pandangan yang dia benar-benar gerun rupanya naik kapal terbang apatah lagi saat kapal terbang mula-mula pecut nak naik dan nak turun, memang terasa nak luruh jantung. “Duduk la hang kat sini sorang-sorang. Aku dengan K.A nak balik nanti. Dah, jom turun”. Responsku padanya.

Saat kaki menapak di bumi ini, aku menghirup udara segarnya. Cuaca amat baik. Tenang saja di sini. Bagai petanda awal aku ‘disambut’ baik datang ke sini. Tiba-tiba bagai tidak percaya aku sudah sampai di sini tapi ketika aku lihatkan papan tanda pada airport itu ‘Selamat Datang ke L’ baru aku mempercayai keberadaan aku.

Tidak sempat menghilangkan lelah, kami sudah pun disambut oleh pentadbir sekolah. Aku, K.A dan MK ditempatkan di satu sekolah dan penolong kanan pentadbiran sekolah tersebut telah menjemput kami dan terus dibawa ke sekolah. Express.. Dalam perjalanan ke sekolah, aku seperti rusa masuk kampung. Mataku tidak terlepas satu pun merakam sekitar bandar L. Kejap kulihat kiri, kejap kupaling ke kanan. Perasaan ingin tahu kehidupan di sini sangat menebal. Dalam 15 minit perjalanan, kami sudah sampai ke sekolah. Cantik! Itu tanggapan pertama aku pada sekolahku ini. Saat kami sampai waktu sekolah sudah pun tamat. Ingatkan masuk sekolah kejap dan boleh terus rehat. Rupanya ada mesyuarat guru petang tu. Kami dihidangkan makanan dan terus masuk ke bilik mesyuarat. Kami ketika itu, pening naik kapal terbang pun tidak hilang lagi.. Badan penat pun masih terasa lagi.. Agenda mesyuarat ketika itu masuk tak masuk je dalam kepala otak aku ni.

Dalam sebulan tu, aku dan K.A menumpang di rumah I dan 2 orang junior yang baru posting tengah tahun lepas. Syukur sebab rumah mereka sangat dekat dengan sekolah, Turun sahaja blok, sudah nampak padang sekolah. Jalan kaki saja kami ke sekolah.. Bahagia je rasa, tak payah fikir akan jalan jam dan berkejar-kejar waktu nak punch card. Tak sampai 5 minit dah sampai sekolah..Pagi-pagi, cuaca dingin jalan kaki ke sekolah sangat menenangkan aku.

Selepas sebulan, akhirnya aku dan K.A dah menyewa rumah sendiri. Tapi bloknya jauh sedikit dari sekolah namun begitu dekat dengan kedai dan jalan keluar. Itu dah kira bersyukur banyak sebab masih dalam kawasan perumahan berhampiran sekolah. Di Semenanjung aku jadi rempit di sini aku masih lagi merempit. Woha! Murah rezekiku. Aku dapat membeli sebuah motorsikal habuan untuk memudahkan lagi pergerakanku sepanjang aku di sini. Alhamdulillah.. Yang penting no plat tu ‘mahal’ nilainya bila aku bawa balik Semenanjung nanti. Kenangan beb!

Sikap pelajarnya tak banyak beza pun dengan di Semenanjung, walaupun di sini tidak sebandar tempat aku. Nama pun remaja kan. Tumbesaran fizikal, mental dan perasaan sama je semua.. Ada yang nakal, rajin, buat muka eksyen, ada yang ramah..

Tapi yang paling menyukarkan aku ialah, bahasa. Bahasa mereka gunakan ialah bahasa Kedayan. Memang jenuh aku nak faham atau erti kata lain memang aku tak faham langsung. Kalau diorang cakap laju-laju memang aku tak leh nak tangkap apa diorang cakap. “Tak pe cikgu, cikgu baru lagi kat sini. Cikgu tengok cam Cikgu F, dua tahun kat sini dah boleh cakap bahasa kami”. Jawab mereka padaku ketika aku meminta pada mereka masa untuk aku belajar memahami bahasa mereka.

Ada satu hari tu mereka tanya padaku, “Cikgu, hari ni ada kelas tambahan tak”?. Aku balas, “Ndak ada, jadualnya ndak kuar lagi”. “Wah…, cikgu dah pandai cakap bahasa kami la sekarang..” “Haha!, Yer ke..? so boleh la cikgu kahwin dengan orang L kan”. Teettt… 😛

Satu lagi yang dapat aku kenal pasti di sini, ramai pelajarku yang latar belakang keluarganya agak tidak stabil.  Dalam kelas yang aku ajar, boleh kukatakan hampir separuh ibu dan ayah bercerai. Yang menjadi masalah besarnya apabila masing-masing lepas tanggungjawab dan anak-anak terkontang-kanting mahu tinggal bersama siapa. Sian sangat aku pada mereka. Umur masih muda sudah rasa peritnya hidup. Ada yang belum pun mencapai akil baligh tapi sudah makin jauh dengan kasih sayang seorang ibu dan ayah. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana mereka mahu merencana hidup dalam keadan begitu. Aku pernah baca di FB “The only reason I always try to meet and know the parents better is because it helps me to forgive their children”. Sangat betul kata-kata ni. Kadang-kadang bila mereka buat perangai, mula la aku menjadi semakin hilang pertimbangan. Tapi bila dah 3 bln mengenali mereka ni dan tau datang dari keluarga yang bagaimana, hilang rasa marahku. Aku jadi mudah memaafkan mereka. Bukan apa, mereka dah cukup terseksa dengan keadaan keluarga, datang sekolah ditambah dengan bebelan guru yang tidak faham jiwa mereka, mula la nak memberontak. Jadi aku perlahan-lahan mendidik hati supaya banyak bersabar dengan mereka. Nak marah pun kutahan-tahan juga walau kekadang terlepas juga. Itu perlu untuk memberikan penegasan kepada mereka.

Aku akui, sambutan hari guru di sini tidak semeriah yang pernah aku sambut di Semenanjung. Tapi bukanlah sambutan itu yang penting bagiku. Yang penting pelajar tahu menghormati dan mengenang jasa guru. Paling tersentuh hadiah sebuah buku dari pelajarku. Aku buka balutan itu di depan dia. Kubelek buku tersebut, tajuk sangat menarik “Mudahnya Mendapat Rezeki”. “Tapi nampak bukan seperti buku baru”. Bisik hati kecilku. “Cikgu baca la buku ni, saya bagi pada cikgu. Buku ni kat rumah bukan saya baca pun”. Aku tersenyum. “Tak apa, saya habis baca nanti saya cerita kat awak isi buku ni ok”. Sambil kupeluk dia erat. Yerp, antara pelajarku yang ibu ayahnya sudah bercerai..

Satu lagi hadiah kudapat ialah bingkai gambar bersama sekeping kad yang dia buat sendiri. Kubaca kad itu perlahan. ‘Thanks sebab jadi pendengar yang setia’, tulisnya pada kad itu. Yerp, aku mendengar ceritanya yang rindu akan kasih sayang seorang lelaki yang bernama ayah apabila ayahnya bercerai dengan ibunya dan meninggalkan mereka untuk ke Semenanjung dan sudahpun berkahwin lain sekarang. Allahuakhbar..

Itulah antara cerita sedikit mengenai pelajarku. Mereka adalah ‘guru’ aku sebenarnya. Yang mengajar aku realiti hidup.. yang menyedarkan aku hidup ada pasang surutnya.. yang mengajar aku menjadi orang yang lebih bersabar, yang menyedarkan aku untuk lebih sensitif dengan keadaan sekeliling dan yang paling, sangat dan amat penting ialah, yang menunjukkan bahawa aku adalah anak yang sangat beruntung sebab memiliki mak dan abah yang mendidik aku ilmu dunia akhirat, yang tidak pernah sekalipun terlepas tanggungjawab terhadapku, yang tidak pernah kurang pun kasih sayang yang dicurahkan. Aku terus sms abah dan mak mengucapkan terima masih kerana memberikan aku segalanya. Mungkin ini antara hikmah mengapa aku ditempatkan di sini.

Satu paling aku suka di sini ialah, pantainya yang bersih dan pasir yang putih bagai mutiara. Sesekali ombak datang kuberlari perlahan-lahan ke tepi cuba kuelak.. Perasaan damai sampai dalam hati setiap kali aku melepaskan pandangan ke arah pantai. Jauh-jauh kulihat, kurenung dalam-dalam, cahaya matahari yang makin menghilang dari pandangan, pantai yang saujana mata memandang, Dan saat itu ada satu perasaan mula menular dalam hati. Perlahan-lahan ia tiba. Kubiarkan perasaan itu hadir. Kubiarkan ia datang. Makin lama makin mencengkam, makin lama makin membara. Makin lama makin menyesakkan.. Rindu!

L Beach

Dan di sinilah aku berada sekarang…

L Map

Advertisements

TEMU DUGA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41

Seperti yang dijanjikan pada entri sebelum ni, aku nak berkongsi soalan-soalan temu duga aku bersama rakan-rakan. Berhari-hari sebelum tiba tarikh temu duga, macam biasa la tentu sekali pulun sungguh-sungguh untuk melakukan persiapan. Biar ada ilmu dan pengetahuan kelak apabila berhadapan dengan penemuduga. Baca buku pendidikan, baca artikel akhbar berkaitan isu pendidikan dan semasa, berbincang bersama-sama rakan dan mencari tips-tips di internet jika ada yang berkongsi pengalaman.

Aku paling setuju sekiranya persediaan ini dilakukan secara perbincangan dengan rakan-rakan. Ada ilmu yang kita tahu mungkin kita boleh kongsikan dengan rakan-rakan dan ada segelintir ilmu yang kita sendiri tidak ada pengetahuan tentangnya dapat kita perolehi melalui rakan-rakan. Bukankah penyebaran ilmu akan menjadi lebih luas¿ Aku pula beruntung sebab ada seorang kakak ni memang pengumpul artikel-artikel surat khabar. Jadi banyaklah fakta-fakta sahih yang aku dapat. Dan aku syorkan juga rajin-rajinlah mengikuti rancangan perbincangan, soal jawab dan dialog topik berkaitan. Aku cadangkan ni bukan apa, sebab dari situlah berkumpulnya ilmu dan pengalaman dari para jemputan yang terdiri daripada golongan profesional, cerdik pandai, pegawai dan mungkin juga orang awam.  Jadi nilai ilmu itu sendiri adalah lebih tinggi dapat kita ikuti secara langsung. Terbukalah sedikit minda dan mata ni. Seperti aku, aku pasti pada para calon yang bakal ditemu duga juga pasti membuat persiapan yang sama. Jadi adalah amat berbesar hati lah aku dapat berkongsi sedikit pengalaman ni bersama para bakal guru-guru di luar sana.

Sebelum aku ‘up’ kan soalan-soalannya ada beberapa tips penting yang perlu diambil perhatian:

  • Persiapan dokumen dan pakaian. Aku mohon sangat untuk korang ambil perhatian lebih untuk menyiapkan dokumen-dokumen yang perlu dibawa ketika temu duga nanti. Senarai dokumen yang perlu dibawa ada dinyatakan di laman sesawang SPP. http://www.spp.gov.my/ . Jadi sediakan betul-betul dan tepat apa yang diminta. Kalau dah seminggu dua sebelum tarikh temuduga jangan la korang lewat-lewatkan sehari dua sebelum untuk siapkan dokumen pula. Kelak menyesallah apa-apa jadi nanti. Dah boleh sediakan awl, buat awal-awal. Yang penting dapatkan cop pegawai DG41 dan ke atas untuk setiap salinan dokumen. Paling senang aku dapatkan cop bekas pengetua ketika aku jadi GSTT dulu, dah tentunya kami saling mengenali dan mudah untuk dapatkan kerjasama. Yang ni aku agak cuai sedikit. Sampai di sana kerani semak dokumen aku, sangkut ler pula… Skrol ijazah aku adalah dalam bahasa inggeris sedangkan SPP minta untuk sediakan dalam bahasa melayu dan yang penting kena ada cop MERAH tu. Adoi… aku sudah agak sedikit down ketika itu. Sebelum ni aku sudah biasa menghantar dokumen skrol aku dalam bahasa inggeris disebabkan saiznya A4 berbanding skrol bahasa melayu yang lebih besar saiznya. Katanya mohon untuk kerja kerajaan kenalah sediakan dalam bahasa melayu. Ok, aku akur. Lepas habis temu duga, aku balik rumah fotostat skrol bahasa melayu dan datang semula ke tempat temu duga hantar pada kerani tadi. Dah tau sekarang kenapa aku tegaskan untuk siapkan dokumen korang awal-awal¿
    Untuk pakaian (wanita), adalah sangat mudah. Pakailah baju kurung dan tudung yang bersesuaian. Kasut bertutup dan kalau boleh ada tapak sikit. Blazer¿ mengenai pemakaian blazer adalah sangat digalakkan. Barulah korang nampak ‘smart’. Katanya jawatan kita ni walaupun guru tapi taraf pegawai jadi, pakailah blazer untuk menampakkan kredibiliti tu. Hampir keseluruhan calon ketika sesi aku tu pakai blazer.
    Aku nak tambah sikit mengenai ‘handbag’. Kebanyakkan kami tak bawa ‘handbag’. Kami bawa beg yang besar sikit untuk simpan fail dokumen dan buku rekod mengajar waktu praktikal. Satu beg dah cukup. Sebab bila masuk bilik temu duga korang hanya bawa buku mengajar masuk ke dalam dan fail dokumen dah siap-siap bagi kat kerani dan dia akan terus hantar pada penemuduga korang. Jadi tak perlulah aku rasa korang nak menyusahkan diri dengan macam-macam beg kat tangan korang.
  • Usaha tidur awal malam sebelumnya. Aku akui malam tu aku agak sedikit terganggu memikirkan bermacam-macam kemungkinan soalan yang keluar esoknya. Bagaimana dengan ‘impression’ penemuduga terhadap aku nanti¿ Kalau aku tak dapat jawab soalan beliau nanti aku nak respons apa¿  Ini adalah normal kalau korang rasa tak sedap badan dan hati di sepanjang malam itu tapi seperti ayat aku awal tu, berusahalah untuk tidur awal. Nampak tak aku guna perkataan ‘berusaha’ sebab aku tau ketenangan amat-amat diperlukan saat mata ingin ditutup.
  • Bangun awal. Sama ada korang tidur malam tu awal atau lewat atau tak dapat tidur langsung pun. Terkebil-kebil sepanjang malam, tapi yang pasti pagi esokknya korang kena bangun awal gak. Macam aku kena sesi pagi, arahan suruh 7.30 pagi dah ada di tempat temu duga. Jadi sebelum subuh lagi sudah siapkan diri. Macam aku duduk kat Ipoh dan tempat temu duga pun kat Ipoh jadi aku dapatlah bajet masa perjalanan. Kawan-kawan aku yang di  luar kawasan Ipoh, ada yang dah datang sehari awal tidur di hotel dan dah siap-siap riki jalan ke tempat temuduga. Jadi rancanglah perjalanan korang sebaiknya supaya korang tak terkejar-kejar nanti. Takut ada yang tak cukup oksigen bernafas bila sampai nanti sebab terlewat.
  • Semakan kehadiran dan dokumen. Kami ramai-ramai ditempatkan di dalam bilik sebagai bilik menunggu sebelum nama dipanggil. Dalam bilik ni nanti ada kerani yang panggil nak pastikan kehadiran dan semak dokumen yang diperlukan. Fail dokumen diorang ambil dan letak siap-siap dalam bilik temuduga. Dan waktu ni kami hanya menunggu nama kami dipanggil masuk.
  • Tatacara dalam bilik temuduga. Temu duga adalah secara kumpulan. Sekali masuk lima orang. Masa masuk dalam bilik tu pastikan butang blazer dibutangkan dan biar semua kawan-kawan dah masuk berdiri di kerusi masing-masing. Bila penemuduga persilakan duduk barulah buka butang blazer dan duduk sopan. Penemuduga ada dua orang. Seorang pegawai pendidikan dan seorang adalah guru opsyen mengikut opsyen masing-masing. Macam kami adalah opsyen IT jadi penemuduga seorang daripada mereka adalah guru cemerlang IT. Cara menjawab soalan tu ikut giliran atau tak adalah mengikut situasi. Ada masa penemuduga taburkan satu soalan dan minta kami bagi pendapat masing-masing, siapa nak jawab dulu jawab la dan ada masa dia akan ikut urutan duduk korang. Bagi satu soalan jawab lepas seorang-seorang. Masa temu duga adalah sejam dan soalan sekitar dalam lima soklan. Kami masuk dalam pukul 9 pagi dan keluar dalam 10 pagi. woha!

Jadi, itu antara tips yang dapat aku kongsikan untuk dapat persiapan yang lebih rapi dan gambaran yang lebih jelas.
Mengenai soalan-soalan yang diutarakan. Sebelum ditalu dengan soalan-soalan yang mencabar,  mestilah ‘warm up’ perkenalkan diri dahulu. Disebabkan kami adalah ambilan GSTT yang dah berpengalaman 2 tahun ke atas mengajar, penemuduga minta turut kami ceritakan pengalaman mengajar. Macam mana mengajar subjek bukan opsyen¿ Apa persiapan sebelum masuk ke kelas kalau dah mengajar subjek bukan opsyen¿ Macam mana kawal pelajar dan kelas¿

Masuklah soalan-soalan yang lebih berfokus:

  • PPPM- Anjakan 4 ( Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Perguruan). Di mana kerajaan menyasarkan pemilihan bakal guru dipilih di kalangan 30% pelajar cemerlang.
    Soalan- Bagaimana hendak menarik pelajar-pelajar cemerlang ni untuk menceburi bidang perguruan ini¿
    Jawapan- Terangkn kepada pelajar hala tuju kerjaya guru..dr guru ke guru cemerlang ->penolong kanan-> pengetua. Latihan perguruan ditingkatkan supaya timbul minat mereka dan naikkan gaji guru.
  • Guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sekarang ada kalanya perlu memenuhi tuntutan kerja luar. Soalan- Bagaimana anda hendak pastikan PdP tetap berjalan walaupun anda tidak hadir ke sekolah¿
    Jawapan- Bangunkan blog ‘upload’ bahan mengajar seperti nota, soalan dan video, jalankan pembelajaran maya, www.edmodo.com ialah laman sosial yg boleh digunakan oleh guru. Sekolah ada sistem yg dipanggil net support system untuk pantau apa-apa yang pelajar akses.
  • Cadangkan aktiviti yang menarik untuk kelab komputer.
    Jawapan- Menjalankn aktiviti IT di dalam makmal komputer memungkinkan pelajar cepat bosan. Malah mengajar mereka menghasilkan video, blog dikatakan kurang memberi impak kerana pelajar sekarang sudah arif malah tahu lebih daripada guru. Jadi dicadangkan adakan lawatan seperti ke MIMOS
  • Bagaimana guru hendak pastikan pelajar menggunakan ICT ke arah kebaikan¿
    Jawapan- Guru jangan berhenti ingatkan pelajar supaya buat baik. Guru pun kena jadi ustazah. Ingatkan pelajar mengenai syurga neraka. Sama ada mereka ikut atau tidak, hidayah Allah yang bagi.

Aku sertakan jawapan tu bukan apa, boleh juga dijadikan rujukan dan idea kepada korang kan. Kalau bukan untuk jawab soalan temu duga pun ianya boleh diaplikasikan dalam kelas nanti. Jawapan tu termasuklah skema yang penemuduga kami bagi. Sangat bagus penemuduga-penemuduga kami ni sebab lepas kami bagi jawapan mereka akan sertakan jawapan mereka sekali yang lebih tepat jadi kami taklah syok sendiri dengan jawapan sendiri. Betul tak¿

Soalan-soalan kat bawah ni adalah soalan kawan-kawan aku dari kumpulan lain. Aku tulis ringkas-ringkas je la ek.
Perkenalkan diri – pengalaman mengajar
Bagaimana nak tarik minat pelajar terhadap subjek sejarah¿ – Apa yang guru patut lakukan¿
Frog VLE – Bagaimana nak tarik minat pelajar agar terus minat untuk belajar melalui penggunaan Frog VLE¿
PBS- Kenapa ibu bapa tidak suka PBS¿ Bagaimana nak atasinya¿ Adakah PBS bagus untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan¿
Guru cemerlang tanya pendapat kita sekiranya mengajar di pedalaman dan tidak mempunyai kemudahan. Apa yang perlu kita buat¿
Apa yang guru perlu lakukan sekiranya komputer tidak dapat berfungsi dengan baik¿
Negara world cup, setiap seorang senaraikan satu negara.
Senaraikan daerah yang ada di perak. Senaraikan satu daerah setiap seorang.
Kalau di hantar ke pedalaman, bersetuju atau tidak¿
Sekiranya ada antara kita yang tidak banyak bagi pendapat dan senyap. Akan di tanya seperti keistimewaan yang ada di tempat tinggal.
Beza dewan rakyat dan parlimen
Budget 2014
Apa pengertian hijrah¿  Ape beza masihi dan hijrah¿  Ape jati diri¿
Penggunaan ICT dalam subjek KH

Aku nak tambah sikit kat sini. ‘Mostly’ soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan isu yang sedang diperkatakan. Contoh cam aku temu duga bulan 11 tahun lepas, masa tu kerajaan dah memperkenalkan PPPM. Jadi kena khatam betul-betul PPPM tu apa. Ni link yang mudah untuk rujuk mengenai dasar-dasar pendidikan. http://www.moe.gov.my/v/pelan-strategik-interim-kpm-2011-2020 . Kawan aku pula temu duga masa tu baru lepas sambut maal hijrah jadi penemuduga tanya pasal maal hijrah pulak. Jadi kena ‘alert’ sangat-sangat apa-apa isu semasa yang berbangkit dan ingat tak semestinya dalam bidang pendidikan sahaja.

Oklah, habis dah aku perah otak menulis pasal temu duga ni. Harap kalau tidak banyak pun dapatlah manfaatnya bersama-sama.

Good Luck! Jangan lupa tawakal selepas korang dah abes daya berusaha.

*Bila aku pulun ‘prepare’ nak temu duga ni tetiba hati aku terdetik, agak-agak aku dah bersungguh-sungguhkah buat persiapan untuk MATI kelak seperti aku berusaha sekarang ni¿ Gulp~

Berlalulah 2013

Assalamualaikum.

Dari hari ke hari ingin sekali aku jengahkan diri ke sini tapi berkali-kali itu jugalah aku menangguhkan keinginanku itu. huhu.
Jadi malam ini sebelum datang tahun yang baru, aku sampaikan juga hajat itu.
Ok! aku nak cuba ‘rewind’ balik apa yang dah berlaku di sepanjang tahun 2013 ini. Allahuakhbar.. sungguh! aku tidak sedar masa berlari meninggalkan aku begitu pantas.

Tahun 2013 ini aku memulakan perjalanan hidup aku dengan menjalani praktikal di SRPT dari bulan Februari sehinggalah bulan Jun. Gementar aku ketika mendaftarkan diri di hadapan pengetua terus lenyap ketika aku disambut baik oleh guru-guru di sana. Ini bukan ayat klise seperti yang mungkin orang lain pun rasa seperti aku, tapi ianya benar-benar berlaku. Staf di SRPT menyambut aku sebagai guru praktikal seperti aku ni seseorang yang dinanti-nantikan selama ini. Aku tak perlu bangun mendapatkan mereka dari meja ke meja untuk memperkenalkan diri. Tapi mereka sendiri yang datang di mejaku memperkenalkan diri mereka dengan senyuman manis. Hari pertama aku sudah dapat sarapan percuma. Nasi Lemak! Mar yang belanja. Aku akan terus ingat kelembutan kau menyambut aku Mar.
Sangat enjoy bekerja di sana. Para pelajarnya adalah pelajar terpilih dan sekolah perempuan jadi tentu sekali aku tidak mempunyai masalah dalam menghadapi masalah pembelajaran mereka atau lebih tepat masalah tingkah laku. Semuanya sudah dalam keadaan bersedia menerima ilmu daripada aku. Sudah hampir setahun aku tidak mengajar dan kini kembali sebagai guru praktikal, syukur aku dapat mengaplikasikan ilmu pendidikan aku secara praktikal dengan lancar.
Bila seseorang itu dalam latihan mengajar pastilah ada sesi penilaian yang selalu digerun-gerunkan itu. Mengajar di hadapan guru pembimbing dan pensyarah, mau tak ketar satu badan. Dapat plak tau yang pensyarah aku ni seorang yang tegas, berpendirian dan selektif. Baru dua minggu praktikal, terus dapat emel, beliau nak datang ‘observe’ aku. Pergh~ Mangkor teman wei! Yang paling menarik beliau seorang yang obses warna merah. Dari hujung rambut sampai ke kaki, sepersalinan berwarna merah. Sehinggakan ketika beliau ingin menilai aku, aku mendapat idea untuk pakai baju merah keesokkannya. Kononnya nak menarik perhatian beliau. Kubuka almari pakaianku, kuselak sehelai demi sehelai baju kurungku. Erk! rupanya aku hanya ada sehelai je baju kurung warna merah itupun nak seakan-akan maroon.. pakai jugalah.. boleh la tu.. uhuk. Selesai tiga kali sesi penilaian, Alhamdulillah, itulah kalimah paling agung yang aku ucapkan. Aku dapat mememuaskan hatinya. Biasalah kalau ada sikit-sikit punya hal kan tapi keseluruhannya aku berjaya. Banyak ilmu dan nasihat yang dikongsikan walau dalam tegas-tegas dia. Tak kisahlah apa pelajar-pelajarnya cakap pasal beliau pun tapi bagi aku Cik R tetap ‘the best’! Aku bertuah dapat menjadi pelajar dibawahnya. Terima Kasih Cik R beri aku A untuk latihan mengajar. Aku tersenyum lebar  ketika melihat keputusan semester.

Dalam aku meniti hari-hari pergi balik sekolah, petang 6hb Mei balik dari sekolah aku eksiden. Beg sandang yang berisi laptop tercampak jauh. Aku dapat rasakan aku bergolek beberapa kali di atas jalan raya bertar. Motorsikalku sudah tentu sekali ‘terbaring’ di tengah-tengah jalan. Aku cuba untuk mengesot, duduk di tepi jalan, takut-takut ada kereta yang lalu di belakang. Ketika itu juga aku sudah rasa hangatnya darah yang mengalir. Rasa itu ada di mana-mana. Dan yang paling menambahkan rasa piluku, aku lihat kaki sebelah kiriku di bahagian atas dipenuhi darah, tidak lagi kelihatan kulit, yang aku nampak hanya isi. Aku masih ingat yang mula-mula sampai ketika aku di saat genting itu, sebuah kereta berhenti. Keluar seorang pakcik, bertanyakan keadaan aku. Saat itu juga ramai sudah yang datang menerpa dan membantuku. Mengangkat motorsikalku ketepi. ‘Bawa dia ke hospital’, aku berpaling dan melihat seorang lelaki India yang mencadangkan aku dibawa ke hospital. ‘Tak apa pakcik, bawa saya saja ke klinik. Rumah saya dekat sini je’. Pakcik itu mengangguk dan memapah aku masuk ke dalam keretanya. Sempat pakcik itu memesan kepada mereka untuk menjaga sebentar motorsikalku sementara dibawa aku ke klinik. Dalam kereta aku baring di tempat duduk belakang. Sekarang, rasa sengal pula yang datang. Rasa itu datang dari pinggang kiriku. Sakit yang amat. Aku seperti dapat rasa yang pinggangku seperti mahu patah sahaja. ‘Dari jauh pakcik nampak dah kamu tadi tapi tiba-tiba pakcik tengok kamu dah jatuh’. Cerita pakcik itu kepada aku. ‘Pakcik, jauh lagi ke nak sampai klinik¿, saya dah tak tahan dah ni.. Sakit sangat’, adu aku pada pakcik. ‘Sabar-sabar, sikit lagi nak sampai. Banyakkan berzikir’, katanya cuba menenangkan aku apabila mendengar aku mengerang kesakitan dari tadi. Tiba di klinik, aku cuba bangun untk keluar dari keretanya, aku lihat pada pintu keretanya tercalit darahku. ‘Pakcik, darah kat pintu ni’,.. ‘Tak apa’, jawabnya ringkas. Aku ditolak menaiki kerusi roda sampai ke bilik rawatan aku dibaringkan di atas katil. Ayat pertama mula-mula aku tanyakan pada jururawat di situ ialah bagaimana keadaan pinggangku yang dari tadi tidak hilang sengalnya. Dia menyelak bajuku. ‘Tak ada apa, cuma hentakan sikit je’. Aku sedikit lega mendengarnya. Mulalah proses membersihkan luka yang amat memeritkan seperit perasaanku bila aku sudah mula memikirkan bagaimana dengan kerja-kerja yang bakal aku tinggalkan memandangkan lukaku sedikit serius. Kaki kiri, tangan kiri, pinggang.. ketiga-tiga tempat itu aku rasakan bagai sudah hilang fungsi apabila sudah dibalut kemas. Agknya aku jatuh di sebelah kiri lebih tadi, itu yang bahagian sebelah kiriku sedikit parah berbanding di bahagian sebelah kanan. ‘Along, kenapa ni¿’. Aku lihat mak dan abah meluru masuk ke bilik rawatan. Mak lantas mencium dahiku. Apalagi yang boleh aku katakan bila keadaan sudah terjadi begini. Setiap hari aku berulang ke klinik untuk mencuci luka, solat atas kerusi, tidur hanya terlentang. Amat batas pergerakanku kini. Dan aku juga mula bertongkat apabila berjalan. Setiap kali aku bangun untuk berjalan setiap kali itu jugalah sakit yang amat pada kakiku seperti dihiris-hiris. Itulah luka yang paling teruk aku alami mana tidaknya aku hanya nampak isinya sahaja. Apabila luka di kakiku sudah mula mengering, aku cuba untuk berjalan tanpa sokongan tongkat. Kali pertama melepaskan tongkat memang aku rasa gayat nak berjalan balik. Seperti tinggi rendah sahaja lantai ni. Aku seperti budak baru nak pandai berjalan. Aku tak dapat bayangkan bagaimana keadaan orang yang patah kaki. Aku yang luka ni pun dah rasa hilang seribu nikmat. Dekat sebulan barulah aku pulih sepenuhnya. Alhamdulillah.. aku dapat balik nikmat berjalan yang Allah tarik untuk mengujiku. Paling terasa lapang sekali apabila aku sudah dapat solat seperti biasa di atas tikar sejadah, kembali dapat sujud. Namun parut yang ditinggalkan di kakiku amat terserlah. Parut jenis keloid. Memang susah nak dihilangkan. Aku juga sudah tidak boleh duduk berlutut. Jari-jari kaki kiriku tidak boleh dilipatkan dengan baik. Keras sahaja rasanya. Kalau aku nak turun untuk sujud dalam solat, aku masih lagi rasa seperti tidak seimbang. Mungkin Allah nak aku sentiasa kenang peristiwa itu setiap kali aku lihat parut ini. Kenangilah jasa mak dan abah. Turutilah kata-kata mereka. Doa mereka tiada hijab. Itu yang jelas pengajarannya.

Berkat kesabaran, kesungguhan dan keazaman aku dapat keputusan semester akhir yang agak baik dan melayakkan aku untuk mendapat DPLI. Bulan September adalah konvokesyen aku di UPSI. Pada mulanya aku tidaklah semangat untuk berkonvo memandangkan ini bukanlah kali pertama aku konvo. Dah ada pengalaman pun masa ijazah di UM tapi mak sangat mengharapkan aku menghadirinya. Katanya inilah masa aku dan dia bersama abah meraikan kejayaan aku yang di sebaliknya hanya antara aku dan mereka sahaja yang tau untuk sampai ke tahap itu. Tidak sanggup untuk menderhaka mereka. Aku hadiri hari keraian itu dengan hati yang tenang.

Hujung bulan November yang lepas, aku menghadiri temuduga oleh SPP di PUO. Abah hantarkan aku ke sana. Aku ingin mohon restu padanya saat perasaan berbaur-baur itu datang. Alhamdulillah, dimudahkan. Aku akan berkongsi soalan-soalan temuduga di entri yang lain sebagai pengetahuan buat mereka yang bakal ditemuduga kelak.

Jadi sekarang ni aku sedang menunggu ‘surat cinta’. Setiap hari menantikan ‘dia’ datang di hadapan pagar rumahku. Owh, resahnya perasaan ini bila ‘kau’ tidak juga kunjung tiba sehingga hari ini. huhu.. Ya Allah, hanya kau tahu apa yang ada di hadapan dan di belakangku. Moga rezeki itu ada..

Gema Hati II

Gema Hati II

Gema Hati