‘Belajar lagi…’ kata opah dalam nada perlahan dan lemah namun masih lagi memberikan reaksi kepadaku.
‘Along kena masuk belajar balik, baru dapat jadi cikgu tetap, insyaAllah’ jawabku. Dia mengangguk lemah. Begitulah perbualanku ringkas antara aku dan arwah Opah semasa melawatnya di hospital Selayang 27 dis lalu. Ketika itu aku tau yang aku tak kan lama dengan Opah di dunia ni jadi biarlah Opah mengetahui berita aku akan melanjutkan pelajaran DPLI di UPSI ini buat kali terakhir dan aku akan simpan perbualan ini sebagai pembakar semangatku ketika aku akan berhempas pulas dengan kuliah nanti.
7Jan 2012-Ketika berita Opah nazak sampai ke telingaku, aku sedang menonton tv di belakang tengok cerita Detektif Conan, salah satu siri penyiasatan yang memang aku gemar. Tersentap aku ketika abah menerima panggilan itu. Aku terus menutup tv dan menuju ke hadapan. Hatiku kian resah, jiwaku makin tidak tenang. Aku berlegar-legar di dalam rumah, tidak senang duduk. Tidak lama selepas itu, Ashreen menelefon abah katanya hayat Opah sudah pun tiada. Allah… kosongnya aku rasakan. Air mata mula menitis tak henti. Aiman yang datang bersama Makcik Ani menegurku, ‘Kenapa mata Along merah¿’. ‘Along sedih, oyang meninggal,’ jawabku ringkas.
Kami bersiap-siap dengan seberapa segera, kami perlu cepat sampai. Opah takkan dibiarkan begitu lama untuk dikebumikan. Abah sentiasa diingatkan untuk bertenang semasa memandu. Sepanjang perjalanan itu, aku tidak putus-putus membacakan Yassin untuk Opah dalam nada yang sedu sedan. Aku tau, aku perlu sedekahkan untuk Opah untuk jaminan hidup yang lebih baik di sana nanti. Separuh perjalanan aku mendapat sms daripada Ida, katanya Opah akan dimandikan sekarang. Kepiluan melandaku sekali lagi kerana aku memang sangat berniat untuk memandikan Opah namun hajatku nampaknya tidak kesampaian jua.
Kami sampai agak lewat ketika itu. Aku tau, saudara mara menunggu kami agak lama. Lemah lututku melihat sekujur tubuh Opah di pembaringan. Tidak bernafas, tidak bernyawa.. Perasaanku berbaur-baur. Antara sedih, terkilan, pilu dalam masa yang masa cuba bertenang. Tidak lama aku dapat mengadap Opah. Ahli jemaah minta Opah diangkat untuk disolatkan. Aku yang tiada air sembahyang ketika itu, bergegas untuk mengambil wuduk. Tetapi nasib tidak menyelebahi aku, ketika aku sudah mengambil wuduk, ahli jemaah sudahpun memulakan solat. Tak sempat aku nak masuk. Ya, terang-terang aku mengaku, aku jahil untuk solat jenazah secara sendirian. Aku tidak hafal bacaan dalam solat jenazah. ‘ أستغفر الله’ . Cepat-cepat aku memohon kemaafan atas kelekaan tuntutan itu. Ada hikmahnya, selepas ini aku kena belajar dan menghafalnya sekiranya aku tidak mahu menyesal kali kedua.
Dalam pukul 4 lebih, jenazah Opah dibawa ke tanah perkuburan di mana arwah Pak Wan ditempatkan. Aku berada dekat-dekat dengan liang lahad Opah. Hatiku makin pilu, melihat jenazah Opah dikebumikan. Makin lama, jenazah Opah makin tidak kelihatan, makin kabur, makin sayup-sayup dan akhirnya hilang dari pandangan.. Air mataku terus menerus gugur bila aku makin dipisahkan dengan Opah antara dua dunia.. Opah sudah tiada lagi di mataku..
Habis talkin dibacakan, seorang demi seorang saudara-mara mula meninggalkan kami. Dalam masa yang ada, kami ke kubur Pak Wan. Alang-alang sudah sampai, kami sedekahkan Fatihah untuknya. Setelah itu, kami bersurai. Namun sampai kembali di kubur Opah kakiku bagai terpaku. Berat mahu melangkah meninggalkan Opah. Berat sangat… Akhirnya tinggal aku, Pakcik Rahim dan abah di kubur Opah. Yang lain sudah berlalu pergi. Aku menyambung membaca 3 Qul dan berdoa mohon Allah menerima segala amalan Opah dan dijauhkan dari segala azab kubur. Air mataku kembali mengalir. Kali ini tidak henti. Tiba-tiba aku dengar suara tangisan yang sangat berderu. Rupanya tangisan itu datang dari Abah. Abah melepaskan segala rasanya di situ sambil memegang kayu yang kami pacak sebagai tanda kubur Opah. Nangisnya tak henti. Tidak pernah aku lihat Abah sebelum ini seperti itu. Hatinya bagai kerapuhan. Aku merapati Abah sambil mengusap belakangnya. ‘Sabar Bah, doa banyak-banyak untuk Opah. Doa anak lelaki cepat sampai,’ pujukku. Abah meredakan tangisannya. Perlahan-lahan kami meninggalkan jejak untuk pulang..
Mungkin tidak banyak memori aku bersama Opah. Setelah Opah berpindah ke KL dan dijaga oleh anak-anak perempuannya hubungan kami dipisahkan oleh jarak. Namun sikap Opah yang sangat menyenangkan tidak akan aku lupakan. Opah jarang bersembang-sembang. Opah jenis yang agak pendiam kalau nak dibandingkan dengan anak-anaknya (adik-beradik Abah) sekali jumpa, riuhnya berbatu-batu boleh dengar. Mak kata semasa hayatnya hidup bersama Arwah Atuk Bahari, Opah seorang isteri yang sangat baik, menurut perintah dan tak melawan. Aku juga sedar akan itu apabila Opah sakit jarang sekali mendengar dia mengaduh. Dia simpan dalam hati akan kesakitannya. Kekadang kami yang terlebih risau bila Opah diam sahaja di pembaringannya. Tah sakit ke, pening ke tak dizahirkan pun.
Namun, semasa Opah kuar dari hospital 29dis lalu sejak itu aku nampak perubahannya. Sempat la sehari aku jaga Opah di rumah Makwan. Dia tidak senang baring. Beralih ke kanan, ke kiri. Kadang-kadang minta aku betulkan pembaringannya. Opah minta aku picitkan kakinya. Namun apabila melihat aku seperti keletihan, dia minta aku berhenti walaupun aku tahu sebenarnya kakinya masih lenguh. Tiba-tiba aku mendengar esakan Opah ketika aku membaca paper di sebelahnya. Katanya dirinya sangat tak tenang kerana tak boleh tidur. Ya, aku lihat Opah semakin tidak betah. Tidak pernah aku lihat Opah tidak keruan dan mulutnya tidak henti-henti mengerang. Aku sudah nampak Opah dah makin tidak seperti dia selalu. Apalagi yang boleh aku buat untuk tenangkan dirinya melainkan memasang ayat-ayat Al-Quran dan zikir di telefon bimbitku dan meletaknya di sebelah bantal Opah. Moga dia lebih tenang.
31dis, Ida datang petang tu untuk melawat Opah dan membawa aku balik ke Ipoh memadangkan dia pun cuti sehingga Isnin kerana cuti tahun baru. Dan itulah kali terakhir aku melihat Opah. Tidak tergambar perasaan ketika itu meninggalkan Opah di pembaringannya. Langkah kakiku teragak-agak untuk keluar dari bilik itu. Tah bila aku akan kembali lagi untuk menziarahnya. Namun tiada siapa pun menduga perpisahan itu menjadi perpisahan yang terakhir. Kali ini bukan sahja dipisahkan oleh jarak tetapi juga dunia.
Al-Fatihah untuk Opah…



